Wednesday, January 10, 2018

3 years later,

here we are, in 2018.

3 tahun berlalu sejak hari terakhir aku tinggalkan jejak jemari di ruangan ini. heh, terlalu leka dengan dunia sendiri, sedikit pun tidak aku kongsikan di sini. mungkin juga aku jadinya tidak lagi mudah berkongsi cerita, tapi tipu kalau itu jadi alasan. lebih kepada lalai dengan segala kemudahan media sosial yang kadar kelajuan berkongsi cerita hidup adalah seribu kali ganda berbanding perlu menatap lama ruangan putih untuk diisi dengan cerita. kelakar kan jadi manusia, sebegitu mudahnya lupa. aku lah tu manusia nya, 

dah jumpa yang mudah konon ikut trend, terus lupa pada yang ini. yang dulunya setia menaip segala cerita. ruangan ini lah yang banyak menjadikan aku manusia. yang membantu aku untuk lebih dewasa. yang menguatkan aku untuk melalui segalanya. di sini aku jumpa dan berkongsi cerita. tapi yang ini juga lah, aku lupa. 

3 tahun berlalu,
dulu aku cuma pelajar diploma usia belasan tahun yang dari sehari ke sehari asyik bertanya adakah aku sudah matang. banyakkah pengalaman yang aku timba dan yang mampu mengajar aku tentang erti sebenarnya hidup. kini aku sudah 22, apa yang mampu aku kata, tidak ubah seperti 12 tahun. bahkan aku lebih matang dahulu berbanding sekarang. mungkin juga kerana situasi kini berbeza. dulu aku perlu mematangkan diri agar aku tidak mudah jatuh dan terus jatuh. aku perlu jadi kuat untuk diri sendiri. kini jujur aku katakan, aku dalam zon yang teramat selesa, maka itu aku jadi mengada. 

aku kini pelajar degree jurusan psikologi. jujur kata, aku perlu psiko diri sendiri lebih dari aku boleh tolong psiko kan orang lain. aku kini, usia 22, tapi lebih dijaga oleh mereka yang baru menginjak 20 dan 21. sisi cerah menjadi yang paling tua dikalangan mereka, lebih terjaga dan dijaga. aku kini, berada dalam zon selesa dan gembira. alhamdulillah. apa yang tak mampu aku rasa 9 tahun dulu, alhamdulillah, Allah berikan rasa itu pada aku. aku kini di universiti swasta, tidak lagi memikirkan hala tuju hidup kerana aku tahu apa laluanku, bahkan aku rasa ini mahuku sebenar benarnya mahu. kata gembira itu tak mampu menggambarkan rasa gembira yang sebenar.

3 tahun berlalu,
sejujurnya yang namanya kawan itu baru di sini aku belajar erti sebenarnya. baru aku sedar dalam 21 tahun aku hidup, lebih kepada aku berjuang sendiri untuk terus hidup. baru di sini aku tahu yang namanya kawan itu tidak menyusahkan dan tidak mengecewakan. apa kerana aku di sini? atau kerana usia ku kini, yang kadang terfikir lelah untuk berkawan, justru itu bila tidak dicari, ia datang dengan sendiri? entah, aku sendiri tiada jawapan. cuma yang aku tahu, aku terlalu bahagia di sini, dengan mereka. 

pendek kata, setelah 3 tahun berlalu, hidup aku lebih bahagia.

No comments: